Sunday, December 8, 2019

MUHAMMAD HAAKEM BIN AZMAN (IIV180036)



Refleksi Program Felix Exitus
                      Saya mulakan warkah ini dengan nama Tuhan yang Esa, Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang, yang dizikir di bibir-bibir insan yang merindui penciptanya dengan nama yang agung, Allah. Segala puji bagi Pengatur kehidupan kita, yang menghidupkan, dan yang mematikan kita. Selawat dan salam ke atas junjungan yang mulia, yang menantikan kita di Telaga Kausar, Nabi Muhammad S.A.W.. Seperti sedia maklum, telah berlangsungnya satu program, Felix Exitus yang menghimpunkan para mahasiswa dari Program Sains Gunaan dan Pengajian Islam pengkhususan Fizik dan Teknologi Maklumat (SGPI Fizik dan IT) bersama para pelajar tingkatan tiga dari SMK Sri Pantai pada 7 hingga 9 November 2019. Program ini bertujuan antaranya untuk membuka minda para pelajar dalam menentukan halatuju yang seterusnya dalam kehidupan khususnya pasca Pentaksiran Tingakatan Tiga (PT3). Hal ini demikian kerana melihatkan realiti para pelajar lepasan PT3 masih lagi tercari-cari ke mana arah tujunya selepas menghadapi salah satu peperiksaan besar Malaysia ini. Oleh itu, diambil inisiatif oleh SGPI Fizik dan IT untuk membantu golongan ini supaya mereka mengejar cita-cita mengikut minat dan kemampuan bukannya mengikut norma sekeliling.

Sudah pasti akan ada fasa sebelum program yang perlu dilalui oleh kami dalam menjayakan program ini supaya objektif yang telah dibina tercapai dan para peserta mendapat input-input yang sepatutnya. Maka saya selaku Timbalan Pengarah 2 program mempunyai beberapa peranan dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Pertamanya, saya ditugaskan untuk mencari sekolah-sekolah yang berdekatan untuk disantuni guru dan pelajar tingkatan tiganya. Antara sekolah yang pernah dicuba ialah SMK Taman Medan dan SMK Taman Dato' Harun namun takdir telah menentukan keberadaan sekolah tidak mengizinkan kami mengadakan program di sana. Oleh itu, kami menyasarkan sekolah yang paling hampir dengan Universiti Malaya (UM), SMK Sri Pantai dan diwakili oleh Pengarah dan Timbalan Pengarah 1. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, pihak sekolah amat mengalu-alukan kehadiran kami berprogram di sana. Kedua, saya juga ditugaskan untuk mendapatkan jaringan kerjasama dalam membina program ini. Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) merupakan pihak yang sudi untuk bekerjasama dan membantu dari segi latihan kefasilitatoran dan pembinaan modul program. Sebelum turun ke padang, kami telah diberi latihan asas untuk menjadi fasilitator yang baik memandangkan salah satu kepakaran PEPIAS ialah dalam bidang kefasilitatoran. Terakhir, setiap Ahli Majlis Tertinggi program ditugaskan untuk memantau satu unit dan saya diberi mandat untuk memantau Unit Program atau Unit Modul. Memudahkan tugasan saya memandangkan saya menjaga hal ehwal jaringan PEPIAS dan maklum PEPIAS membantu dalam pembikinan modul, maka secara tidak langsung, saya juga terlibat dalam proses pembinaan modul Felix Exitus.

Program ini berlangsung selama 3 hari 1 malam, bermula pada hari Khamis, 7 November pukul 7 pagi hingga 3.30 petang dan sambung semula pada hari Jumaat, 8 November pukul 7 pagi hingga hari Sabtu, 9 November pukul 2 petang. Sepanjang program tersebut, tugas saya sebagai Timbalan Pengarah 2 tamat, hanya tercatat dalam organisasi program sahaja. Namun, saya diberikan tugasan baru dan tugasan ini saya kira ialah tugasan yang menentukan perjalanan program tersebut, iaitu sebagai Penyelaras Program atau Programme Coordinator (PC). PC ini merupakan wajah program kerana sepanjang program itu, sebelum memulakan atau menamatkan sesuatu slot, para peserta akan bersama saya sebagai pembakar semangat para peserta sebelum memulakan slot dan meresolusikan apa yang telah dipelajari dalam sesuatu slot. Tugas saya juga untuk memastikan perjalanan program mengikut tentatif yang telah ditetapkan baik dari segi pengurusan masa dan juga pengisian program. Pada hari pertama, fokus kami hanya pada memecah bendungan antara kami dengan pelajar-pelajar supaya perjalanan program akan berlangsung dengan lancar setelah mempunyai hubungan yang mantap sesama kami. Objetif utama kami, untuk mendedahkan halatuju terutamanya selepas PT3 berdasarkan minat dan kemahiran diri, mula didedahkan pada hari kedua bersama-sama para fasilitator. Kemudian mula disentuh berkenaan penjagaan sahsiah diri pada sebelah petang dan malam hari kedua melalui slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bersama fasilitator masing-masing dan Malam Kebudayaan. Akhirnya, kami menyentuh serba sedikit berkenaan asas kemahiran insaniah yang diperlukan sebagai seorang manusia pada hari ketiga melalui aktiviti Explorace.

Mengapa pelajar sekolah merupakan masyarakat yang dipilih oleh kami sebagai masyarakat yang ingin disantuni dalam kursus wajib UM, Jalinan Masyarakat memandangkan banyak lagi kumpulan-kumpulan masyarakat yang wujud di persekitaran kami. Pada hemat saya, pertamanya disebabkan pelajar SMK Sri Pantai ialah antara masyarakat yang paling hampir dengan UM dan keduanya memikirkan hal kami ialah golongan yang paling hampir dengan pelajar melihatkan pada jarak umur dan pengalaman. Sungguh program ini memberi impak yang positif dan besar pada saya terutamanya dalam proses mematangkan pemikiran dan tindakan. Antara perkara yang saya peroleh adalah apabila hendak mengendalikan sesuatu kumpulan manusia yang mempunyai sarwa pandang yang berbeza dalam sesuatu perkara. Perkara ini melatih saya untuk menjaga adab dalam berbeza pandangan, baik dari segi mengambil kira setiap pandangan, bagaimana untuk mengharmonikan setiap pandangan, dan juga hendak memutuskan sesuatu yang mempunyai lontaran hujah-hujah dari setiap ahli. Selain itu juga, apabila berlaku situasi-situasi yang menyentuh sensitiviti masa, hal ini membuka minda saya untuk menanam sifat menghormati setiap masa manusia yang ada dalam ruang cakupan kita kerana setiap individu mempunyai perancangan masa secara peribadi.

Menutup kata-kata akhir warkah hamba Tuhan yang daif ini, suka untuk saya memetik satu ayat daripada kalam suci, “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah yang mungkar, dan beriman kepada Allah...” (surah Ali Imran, ayat 110). Ayat ini jelas menunjukkan dalam mendapatkan gelaran ‘Umat Terbaik’ perlu melakukan tiga perkara: mengajak manusia melakukan kebaikan, mencegah perkara yang buruk, dan beriman kepada Allah. Mengambil iktibar daripada ayat ini, diharapkan setiap perkara yang dirancang, diatur, disusun, dan dilakukan khususnya dalam menjayakan program Felix Exitus menjadi saham dalam mendapatkan gelaran yang dijanjikan oleh Tuhan yang Maha Agung. Moga terus komited dalam menjadikan diri ini sebagai: hamba Allah yang sentiasa patuh akan titah dan larangnya, khalifah yang sentiasa berusaha untuk memakmurkan tanah ini, dan da’ie yang tidak lekang pada bibirnya menyampaikan risalah nabi walaupun satu ayat.

No comments:

Post a Comment

MUHAMMAD HAAKEM BIN AZMAN (IIV180036)

Refleksi Program Felix Exitus                       Saya mulakan warkah ini dengan nama Tuhan yang Esa, Maha Pemurah, lagi Maha P...