Sunday, December 1, 2019

NURAIN FATINI BINTI ADNAN (IIU180008)




REFLEKSI PROGRAM JALINAN MASYARAKAT


Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan izin-Nya saya dan rakan-rakan telah berjaya menamatkan salah satu kajian lapangan dan program bagi memenuhi tugasan subjek wajib Universiti iaitu Jalinan Masyarakat bagi Semester 3. Program ini diberi nama “Felix Exitus yang membawa maksud kejayaan di dalam bahasa Latin di mana menepati objektif kami iaitu memberikan pendedahan kepada pelajar lepasan PT3 mengenai halatuju selepas PT3 berdasarkan minat dan kemahiran diri. Selain itu, kami juga ingin memupuk kesedaran dalam diri pelajar tentang kepentingan menjaga sahsiah diri serta untuk memupuk kepentingan kemahiran insaniah dalam kehidupan sebagai seorang pelajar. Bagi memenuhi tugasan ini, kami telah memilih Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Kuala Lumpur pada 7 sehingga 9 November yang lalu.
Melalui program ini, saya dapati terdapat beberapa perkara yang boleh dianggap sebagai faktor kejayaan pelaksaan program ini. Pertama sekali, dari penubuhan jawatankuasa kepada pembahagian tugasan, mesyuarat sehinggalah pelaksanaan aktiviti, secara majoritinya semua AJK mampu memberi kerjasama dan komitmen yang berterusan. Semua AJK saling bantu-membantu dalam usaha menjadikan program ini Berjaya dilaksanakan dan mencapai objektif dengan jayanya.
Seterusnya, program ini mampu berjalan dengan lancar kerana terdapat sebahagian dari ahli AJK yang sudah mempunyai pengalaman dalam mengendalikan program dari awal sehingga tamat. Ramai di antara ahli AJK yang tidak perlu mengambil masa yang lama untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan kepada mereka. Sebagai contoh, membuat poster, banner, urusan diplomasi dan surat-menyurat untuk mendapatkan kelulusan dan banyak lagi. Hal ini memudahkan pergerakan kami dan sekali gus kami mampu menjalankan program ini secara lancar dan teratur.
Antara perkara yang paling kami berasa terharu dan semangat untuk teruskan program ini adalah semangat dan tingkahlaku pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai itu sendiri. Mereka sentiasa bersemangat dan komited dalam melakukan aktiviti-aktiviti bersama kami sepanjang program ini. Walaupun berlakunya pengurangan dari segi bilangan mereka berbanding hari pertama, namun mereka masih mampu bersemangat mengikuti program ini sehingga tamat. Tambahan pula, penyediaan tempat dan kawasan sepanjang program ini banyak membantu dan memudahkan urusan kami sepanjang program ini dilaksanakan.
Secara peribadinya, program ini mampu membuka pandangan kami betapa pentingnya memberi pendedahan awal mengenai halatuju kepada mereka ini. Hal ini kerana, mereka masih ragu-ragu dengan keputusan mereka sendiri. Setelah melakukan beberapa aktiviti, mereka sudah mula nampak halatuju mereka dan mula bersemangat untuk melanjutkan pelajaran.
Kesimpulannya, program ini memberi impak yang besar kepada kami terutamanya dari segi penubuhan jawatankuasa sehinggalah mesyuarat post mortem. Kami mendapati bahawa jawatankuasa dan pengurusan masa adalah antara dua elemen yang sangat penting untuk menjayakan program ini. Program kemasyarakatan ini sewajarnya dijalankan oleh para mahasiswa bagi meningkatkan lagi nilai keilmuan dalam diri mereka sekaligus melahirkan masyarakat yang mempunyai intipati keagamaan dan keilmuan yang tinggi.

No comments:

Post a Comment

MUHAMMAD HAAKEM BIN AZMAN (IIV180036)

Refleksi Program Felix Exitus                       Saya mulakan warkah ini dengan nama Tuhan yang Esa, Maha Pemurah, lagi Maha P...