Sunday, December 8, 2019

MUHAMMAD HAAKEM BIN AZMAN (IIV180036)



Refleksi Program Felix Exitus
                      Saya mulakan warkah ini dengan nama Tuhan yang Esa, Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang, yang dizikir di bibir-bibir insan yang merindui penciptanya dengan nama yang agung, Allah. Segala puji bagi Pengatur kehidupan kita, yang menghidupkan, dan yang mematikan kita. Selawat dan salam ke atas junjungan yang mulia, yang menantikan kita di Telaga Kausar, Nabi Muhammad S.A.W.. Seperti sedia maklum, telah berlangsungnya satu program, Felix Exitus yang menghimpunkan para mahasiswa dari Program Sains Gunaan dan Pengajian Islam pengkhususan Fizik dan Teknologi Maklumat (SGPI Fizik dan IT) bersama para pelajar tingkatan tiga dari SMK Sri Pantai pada 7 hingga 9 November 2019. Program ini bertujuan antaranya untuk membuka minda para pelajar dalam menentukan halatuju yang seterusnya dalam kehidupan khususnya pasca Pentaksiran Tingakatan Tiga (PT3). Hal ini demikian kerana melihatkan realiti para pelajar lepasan PT3 masih lagi tercari-cari ke mana arah tujunya selepas menghadapi salah satu peperiksaan besar Malaysia ini. Oleh itu, diambil inisiatif oleh SGPI Fizik dan IT untuk membantu golongan ini supaya mereka mengejar cita-cita mengikut minat dan kemampuan bukannya mengikut norma sekeliling.

Sudah pasti akan ada fasa sebelum program yang perlu dilalui oleh kami dalam menjayakan program ini supaya objektif yang telah dibina tercapai dan para peserta mendapat input-input yang sepatutnya. Maka saya selaku Timbalan Pengarah 2 program mempunyai beberapa peranan dan tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Pertamanya, saya ditugaskan untuk mencari sekolah-sekolah yang berdekatan untuk disantuni guru dan pelajar tingkatan tiganya. Antara sekolah yang pernah dicuba ialah SMK Taman Medan dan SMK Taman Dato' Harun namun takdir telah menentukan keberadaan sekolah tidak mengizinkan kami mengadakan program di sana. Oleh itu, kami menyasarkan sekolah yang paling hampir dengan Universiti Malaya (UM), SMK Sri Pantai dan diwakili oleh Pengarah dan Timbalan Pengarah 1. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, pihak sekolah amat mengalu-alukan kehadiran kami berprogram di sana. Kedua, saya juga ditugaskan untuk mendapatkan jaringan kerjasama dalam membina program ini. Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) merupakan pihak yang sudi untuk bekerjasama dan membantu dari segi latihan kefasilitatoran dan pembinaan modul program. Sebelum turun ke padang, kami telah diberi latihan asas untuk menjadi fasilitator yang baik memandangkan salah satu kepakaran PEPIAS ialah dalam bidang kefasilitatoran. Terakhir, setiap Ahli Majlis Tertinggi program ditugaskan untuk memantau satu unit dan saya diberi mandat untuk memantau Unit Program atau Unit Modul. Memudahkan tugasan saya memandangkan saya menjaga hal ehwal jaringan PEPIAS dan maklum PEPIAS membantu dalam pembikinan modul, maka secara tidak langsung, saya juga terlibat dalam proses pembinaan modul Felix Exitus.

Program ini berlangsung selama 3 hari 1 malam, bermula pada hari Khamis, 7 November pukul 7 pagi hingga 3.30 petang dan sambung semula pada hari Jumaat, 8 November pukul 7 pagi hingga hari Sabtu, 9 November pukul 2 petang. Sepanjang program tersebut, tugas saya sebagai Timbalan Pengarah 2 tamat, hanya tercatat dalam organisasi program sahaja. Namun, saya diberikan tugasan baru dan tugasan ini saya kira ialah tugasan yang menentukan perjalanan program tersebut, iaitu sebagai Penyelaras Program atau Programme Coordinator (PC). PC ini merupakan wajah program kerana sepanjang program itu, sebelum memulakan atau menamatkan sesuatu slot, para peserta akan bersama saya sebagai pembakar semangat para peserta sebelum memulakan slot dan meresolusikan apa yang telah dipelajari dalam sesuatu slot. Tugas saya juga untuk memastikan perjalanan program mengikut tentatif yang telah ditetapkan baik dari segi pengurusan masa dan juga pengisian program. Pada hari pertama, fokus kami hanya pada memecah bendungan antara kami dengan pelajar-pelajar supaya perjalanan program akan berlangsung dengan lancar setelah mempunyai hubungan yang mantap sesama kami. Objetif utama kami, untuk mendedahkan halatuju terutamanya selepas PT3 berdasarkan minat dan kemahiran diri, mula didedahkan pada hari kedua bersama-sama para fasilitator. Kemudian mula disentuh berkenaan penjagaan sahsiah diri pada sebelah petang dan malam hari kedua melalui slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bersama fasilitator masing-masing dan Malam Kebudayaan. Akhirnya, kami menyentuh serba sedikit berkenaan asas kemahiran insaniah yang diperlukan sebagai seorang manusia pada hari ketiga melalui aktiviti Explorace.

Mengapa pelajar sekolah merupakan masyarakat yang dipilih oleh kami sebagai masyarakat yang ingin disantuni dalam kursus wajib UM, Jalinan Masyarakat memandangkan banyak lagi kumpulan-kumpulan masyarakat yang wujud di persekitaran kami. Pada hemat saya, pertamanya disebabkan pelajar SMK Sri Pantai ialah antara masyarakat yang paling hampir dengan UM dan keduanya memikirkan hal kami ialah golongan yang paling hampir dengan pelajar melihatkan pada jarak umur dan pengalaman. Sungguh program ini memberi impak yang positif dan besar pada saya terutamanya dalam proses mematangkan pemikiran dan tindakan. Antara perkara yang saya peroleh adalah apabila hendak mengendalikan sesuatu kumpulan manusia yang mempunyai sarwa pandang yang berbeza dalam sesuatu perkara. Perkara ini melatih saya untuk menjaga adab dalam berbeza pandangan, baik dari segi mengambil kira setiap pandangan, bagaimana untuk mengharmonikan setiap pandangan, dan juga hendak memutuskan sesuatu yang mempunyai lontaran hujah-hujah dari setiap ahli. Selain itu juga, apabila berlaku situasi-situasi yang menyentuh sensitiviti masa, hal ini membuka minda saya untuk menanam sifat menghormati setiap masa manusia yang ada dalam ruang cakupan kita kerana setiap individu mempunyai perancangan masa secara peribadi.

Menutup kata-kata akhir warkah hamba Tuhan yang daif ini, suka untuk saya memetik satu ayat daripada kalam suci, “Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah yang mungkar, dan beriman kepada Allah...” (surah Ali Imran, ayat 110). Ayat ini jelas menunjukkan dalam mendapatkan gelaran ‘Umat Terbaik’ perlu melakukan tiga perkara: mengajak manusia melakukan kebaikan, mencegah perkara yang buruk, dan beriman kepada Allah. Mengambil iktibar daripada ayat ini, diharapkan setiap perkara yang dirancang, diatur, disusun, dan dilakukan khususnya dalam menjayakan program Felix Exitus menjadi saham dalam mendapatkan gelaran yang dijanjikan oleh Tuhan yang Maha Agung. Moga terus komited dalam menjadikan diri ini sebagai: hamba Allah yang sentiasa patuh akan titah dan larangnya, khalifah yang sentiasa berusaha untuk memakmurkan tanah ini, dan da’ie yang tidak lekang pada bibirnya menyampaikan risalah nabi walaupun satu ayat.

Sunday, December 1, 2019

MUHAMMAD SALLEH BIN BASHARUDIN (IIV180038)





REFLEKSI PROGRAM JALINAN MASYARAKAT


      Tanggal 7 haribulan November 2019, bermulanya program Felix Exitus anjuran program sarjana muda pengajian islam dan sains di sekolah menengah kebangsaan seri pantai. Program bermula pada jam 8 pagi. Pelbagai isu dan cabaran yang kami hadapi untuk menjalankan program ini namun kerana kerjasama daripada semua ahli jawatankuasa dan pihak majlis tertinggi, majlis ini dapat berjalan dengan lancarnya. Melakukan program dengan para pelajar sekolah ini banyak mengajar kami semua erti kesabaran kerana para pelajar yang berbagai-bagai latar belakang mempunyai pelbagai sikap. Kami mampu belajar untuk mengendalikan program dan menarik minat adik-adik pelajar untuk terus fokus dan komited dalam program ini.
           Selain itu, program ini juga banyak membantu kami para ahli jawatankuasa untuk kenal dengan lebih mendalam antara satu sama lain dan juga antara pelajar. Apabila kita mengenali dengan lebih rapat antara satu sama lain, maka senangla untuk melakukan tugas dan juga arahan yang dikeluarkan dapat diterima dengan baik. Sifat saling membantu antara ahli sangat membaggakan dan segala masalah dapat diselesaian kerana sifat semua ahli yang sangat memahami antara satu sama lain. Perkara ini sangat penting dalam kerja berkumpulan di mana semua orang mempunyai taggungjawab masing-masing dan tidak mengganggu urusan ataupon kerja orang lain.
          Terdapat pelbagai pengalaman yang kami dapat sepanjang program di mana para pelajar dan ahli bercakap seperti seorang sahabat dan bukan sebagai orang dewasa. Dengan program ini, kami dapat mengenal sifat seseorang itu melalui kerjanya di mana semua orang mempunyai biro dan tugas masing-masing yang perlu diselesaikan. Program ini menjadikan saya sebagai seorang yang sentiasa mengikut arahan dan menerima pandagan daripada semua orang. Saya berharap semua sifat-sifat yag baik sepanjang program ini mampu menjadikan saya seorang yang berkebolehan dalam pelbagai perkara.


AHMAD SYAHMI BIN AHMAD SULTAN (IIV180005)


      


REFLEKSI PROGRAM JALINAN MASYARAKAT


      Bismillahirrahmannirrahim, pada tanggal 7-9 November lalu, gabungan pelajar Fizik dan IT telah menjayakan Jalinan Masyarakat di SMK Seri Pantai. Alhamdulillah, program kami berjalan sepertima na yang kami aturkan. Terdapat banyak perkara yang telah diperolehi saya dan rakan-rakan sepanjang program ini diadakan.

       Sebelum memulakan segala titik mula program, kami dipecahkan ke beberapa biro, dan saya telah dimasukkan ke dalam biro dana, pada pendapat saya, biro ini adalah antara biro terpenting kerana kami bertindak sebagai tulang belakang program ini. Antara kaedah kami memperolehi dana adalah dengan mengadakan aktiviti seperti jualan baju, ' Car Wash ' secara migguan dan penjualan makanan dan air mineral di Kolej Kediaman Kedua Belas dan Lima. Setelah bertungkus lumus mengumpul dana , kami mendapati dana kami kurang dari apa yang telah direncanakan. Alhamdulillah, kami disumbang dari pelbagai pihak pada saat akhir dan dengan dana ini program kami berjalan lancar tanpa masalah kewangan yang kami khuatiri akan berlaku.

      Untuk persediaan awal program kami,  kami semua telah didedahkan dengan kursus persediaan awal pemfasilitatoran kira-kira seminggu sebelum berlangsungnya Jalinan Masyarakat kami. Di sana, banyak input yang telah kami dapat dan dapat dimanfaatkan pada hari kejadian kami. Dengan bimbingan dari pihak PEPIAS ( Persatuan Pelajar Islam Selangor) dalam mendidik kami menjadi fasilitator yang berjaya , kami mendapat persediaan rapi sebelum program bermula, bak kata pepatah melayu , ' sediakan payung sebelum hujan'.

    Pada hari kejadian, aktiviti kami berjalan dengan sangat lancar, saya selaku fasilitator pada program ini sangat berpuas hati dengan segala aktiviti yang telah dirancang oleh biro modul , kerana semua aktiviti disediakan dengan rapi dan bersesuaian dengan tema dan nama program kami ' Felix Exitus'. Antara aktiviti yang telah kami sediakan adalah Explorace yang mampu memupuk kemahiran berkomunikasi yang brkesan disamping menganalisa maklumat dengan tepat. Perkara yang telah disebutkan penting untuk para pelajar yang bakal menghadapi kehidupan mereka yang penuh dengan cabaran dan dugaan. Pengalaman seperti ini sangat berharga buat saya kerana banyak perkara yang berlaku sepanjang program ini dijalankan. Komitmen yang diberikan oleh peserta program juga sangat menggalakkan .

   Selepas program ini tamat, kami juga mengadakan post mortem untuk memberikan ulasan, komen tentang semua perkara yang berlaku , baik positif atau negatif, sebagai galakan dan pengajaran dalam kehidupan. Saya juga mewujudkan dan mengekalkan hubungan saya dengan ahli kumpulan saya melalui ' WhatsApp' supaya jika ada pertanyaan yang ingin diajukan pelajar atau wujud kemusykilan dalam diri mereka , saya sedia membantu mereka.

    Akhir kalam, saya merasakan program kami , Felix Exitus ini sangat bermanfaat pada kami semua, baik pihak pelajar , pihak sekolah dan kami semua . Pengalaman yang dikecapi akan saya manfaatkan di pelajaran mahupun di alam kerja nanti. Harapan saya adalah agar kita sentiasa mempekayakan diri dengan ilmu dan sentiasa berusaha untuk jadi yang terbaik .


NURAIN FATINI BINTI ADNAN (IIU180008)




REFLEKSI PROGRAM JALINAN MASYARAKAT


Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan izin-Nya saya dan rakan-rakan telah berjaya menamatkan salah satu kajian lapangan dan program bagi memenuhi tugasan subjek wajib Universiti iaitu Jalinan Masyarakat bagi Semester 3. Program ini diberi nama “Felix Exitus yang membawa maksud kejayaan di dalam bahasa Latin di mana menepati objektif kami iaitu memberikan pendedahan kepada pelajar lepasan PT3 mengenai halatuju selepas PT3 berdasarkan minat dan kemahiran diri. Selain itu, kami juga ingin memupuk kesedaran dalam diri pelajar tentang kepentingan menjaga sahsiah diri serta untuk memupuk kepentingan kemahiran insaniah dalam kehidupan sebagai seorang pelajar. Bagi memenuhi tugasan ini, kami telah memilih Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Kuala Lumpur pada 7 sehingga 9 November yang lalu.
Melalui program ini, saya dapati terdapat beberapa perkara yang boleh dianggap sebagai faktor kejayaan pelaksaan program ini. Pertama sekali, dari penubuhan jawatankuasa kepada pembahagian tugasan, mesyuarat sehinggalah pelaksanaan aktiviti, secara majoritinya semua AJK mampu memberi kerjasama dan komitmen yang berterusan. Semua AJK saling bantu-membantu dalam usaha menjadikan program ini Berjaya dilaksanakan dan mencapai objektif dengan jayanya.
Seterusnya, program ini mampu berjalan dengan lancar kerana terdapat sebahagian dari ahli AJK yang sudah mempunyai pengalaman dalam mengendalikan program dari awal sehingga tamat. Ramai di antara ahli AJK yang tidak perlu mengambil masa yang lama untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan kepada mereka. Sebagai contoh, membuat poster, banner, urusan diplomasi dan surat-menyurat untuk mendapatkan kelulusan dan banyak lagi. Hal ini memudahkan pergerakan kami dan sekali gus kami mampu menjalankan program ini secara lancar dan teratur.
Antara perkara yang paling kami berasa terharu dan semangat untuk teruskan program ini adalah semangat dan tingkahlaku pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai itu sendiri. Mereka sentiasa bersemangat dan komited dalam melakukan aktiviti-aktiviti bersama kami sepanjang program ini. Walaupun berlakunya pengurangan dari segi bilangan mereka berbanding hari pertama, namun mereka masih mampu bersemangat mengikuti program ini sehingga tamat. Tambahan pula, penyediaan tempat dan kawasan sepanjang program ini banyak membantu dan memudahkan urusan kami sepanjang program ini dilaksanakan.
Secara peribadinya, program ini mampu membuka pandangan kami betapa pentingnya memberi pendedahan awal mengenai halatuju kepada mereka ini. Hal ini kerana, mereka masih ragu-ragu dengan keputusan mereka sendiri. Setelah melakukan beberapa aktiviti, mereka sudah mula nampak halatuju mereka dan mula bersemangat untuk melanjutkan pelajaran.
Kesimpulannya, program ini memberi impak yang besar kepada kami terutamanya dari segi penubuhan jawatankuasa sehinggalah mesyuarat post mortem. Kami mendapati bahawa jawatankuasa dan pengurusan masa adalah antara dua elemen yang sangat penting untuk menjayakan program ini. Program kemasyarakatan ini sewajarnya dijalankan oleh para mahasiswa bagi meningkatkan lagi nilai keilmuan dalam diri mereka sekaligus melahirkan masyarakat yang mempunyai intipati keagamaan dan keilmuan yang tinggi.

MUHAMMAD HAAKEM BIN AZMAN (IIV180036)

Refleksi Program Felix Exitus                       Saya mulakan warkah ini dengan nama Tuhan yang Esa, Maha Pemurah, lagi Maha P...