Refleksi Program Felix Exitus
Saya mulakan warkah ini dengan nama Tuhan yang Esa, Maha
Pemurah, lagi Maha Penyayang, yang dizikir di bibir-bibir insan yang merindui
penciptanya dengan nama yang agung, Allah. Segala puji bagi Pengatur kehidupan
kita, yang menghidupkan, dan yang mematikan kita. Selawat dan salam ke atas
junjungan yang mulia, yang menantikan kita di Telaga Kausar, Nabi Muhammad
S.A.W.. Seperti sedia maklum, telah berlangsungnya satu program, Felix Exitus
yang menghimpunkan para mahasiswa dari Program Sains Gunaan dan Pengajian Islam
pengkhususan Fizik dan Teknologi Maklumat (SGPI Fizik dan IT) bersama para
pelajar tingkatan tiga dari SMK Sri Pantai pada 7 hingga 9 November 2019.
Program ini bertujuan antaranya untuk membuka minda para pelajar dalam
menentukan halatuju yang seterusnya dalam kehidupan khususnya pasca Pentaksiran
Tingakatan Tiga (PT3). Hal ini demikian kerana melihatkan realiti para pelajar
lepasan PT3 masih lagi tercari-cari ke mana arah tujunya selepas menghadapi
salah satu peperiksaan besar Malaysia ini. Oleh itu, diambil inisiatif oleh
SGPI Fizik dan IT untuk membantu golongan ini supaya mereka mengejar cita-cita
mengikut minat dan kemampuan bukannya mengikut norma sekeliling.
Sudah pasti akan ada fasa sebelum program yang perlu
dilalui oleh kami dalam menjayakan program ini supaya objektif yang telah
dibina tercapai dan para peserta mendapat input-input yang sepatutnya. Maka
saya selaku Timbalan Pengarah 2 program mempunyai beberapa peranan dan
tanggungjawab yang perlu dilunaskan. Pertamanya, saya ditugaskan untuk mencari
sekolah-sekolah yang berdekatan untuk disantuni guru dan pelajar tingkatan
tiganya. Antara sekolah yang pernah dicuba ialah SMK Taman Medan dan SMK Taman
Dato' Harun namun takdir telah menentukan keberadaan sekolah tidak mengizinkan
kami mengadakan program di sana. Oleh itu, kami menyasarkan sekolah yang paling
hampir dengan Universiti Malaya (UM), SMK Sri Pantai dan diwakili oleh Pengarah
dan Timbalan Pengarah 1. Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, pihak
sekolah amat mengalu-alukan kehadiran kami berprogram di sana. Kedua, saya juga
ditugaskan untuk mendapatkan jaringan kerjasama dalam membina program ini.
Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS) merupakan pihak yang sudi
untuk bekerjasama dan membantu dari segi latihan kefasilitatoran dan pembinaan
modul program. Sebelum turun ke padang, kami telah diberi latihan asas untuk
menjadi fasilitator yang baik memandangkan salah satu kepakaran PEPIAS ialah
dalam bidang kefasilitatoran. Terakhir, setiap Ahli Majlis Tertinggi program
ditugaskan untuk memantau satu unit dan saya diberi mandat untuk memantau Unit
Program atau Unit Modul. Memudahkan tugasan saya memandangkan saya menjaga hal
ehwal jaringan PEPIAS dan maklum PEPIAS membantu dalam pembikinan modul, maka
secara tidak langsung, saya juga terlibat dalam proses pembinaan modul Felix
Exitus.
Program ini berlangsung selama 3 hari 1 malam, bermula pada
hari Khamis, 7 November pukul 7 pagi hingga 3.30 petang dan sambung semula pada
hari Jumaat, 8 November pukul 7 pagi hingga hari Sabtu, 9 November pukul 2
petang. Sepanjang program tersebut, tugas saya sebagai Timbalan Pengarah 2
tamat, hanya tercatat dalam organisasi program sahaja. Namun, saya diberikan
tugasan baru dan tugasan ini saya kira ialah tugasan yang menentukan perjalanan
program tersebut, iaitu sebagai Penyelaras Program atau Programme
Coordinator (PC). PC ini merupakan wajah program kerana sepanjang program
itu, sebelum memulakan atau menamatkan sesuatu slot, para peserta akan bersama
saya sebagai pembakar semangat para peserta sebelum memulakan slot dan
meresolusikan apa yang telah dipelajari dalam sesuatu slot. Tugas saya juga
untuk memastikan perjalanan program mengikut tentatif yang telah ditetapkan
baik dari segi pengurusan masa dan juga pengisian program. Pada hari pertama,
fokus kami hanya pada memecah bendungan antara kami dengan pelajar-pelajar
supaya perjalanan program akan berlangsung dengan lancar setelah mempunyai
hubungan yang mantap sesama kami. Objetif utama kami, untuk mendedahkan
halatuju terutamanya selepas PT3 berdasarkan minat dan kemahiran diri, mula
didedahkan pada hari kedua bersama-sama para fasilitator. Kemudian mula
disentuh berkenaan penjagaan sahsiah diri pada sebelah petang dan malam hari
kedua melalui slot Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bersama fasilitator
masing-masing dan Malam Kebudayaan. Akhirnya, kami menyentuh serba sedikit
berkenaan asas kemahiran insaniah yang diperlukan sebagai seorang manusia pada
hari ketiga melalui aktiviti Explorace.
Mengapa pelajar sekolah merupakan masyarakat yang dipilih
oleh kami sebagai masyarakat yang ingin disantuni dalam kursus wajib UM,
Jalinan Masyarakat memandangkan banyak lagi kumpulan-kumpulan masyarakat yang
wujud di persekitaran kami. Pada hemat saya, pertamanya disebabkan pelajar SMK
Sri Pantai ialah antara masyarakat yang paling hampir dengan UM dan keduanya
memikirkan hal kami ialah golongan yang paling hampir dengan pelajar melihatkan
pada jarak umur dan pengalaman. Sungguh program ini memberi impak yang positif
dan besar pada saya terutamanya dalam proses mematangkan pemikiran dan
tindakan. Antara perkara yang saya peroleh adalah apabila hendak mengendalikan
sesuatu kumpulan manusia yang mempunyai sarwa pandang yang berbeza dalam
sesuatu perkara. Perkara ini melatih saya untuk menjaga adab dalam berbeza
pandangan, baik dari segi mengambil kira setiap pandangan, bagaimana untuk
mengharmonikan setiap pandangan, dan juga hendak memutuskan sesuatu yang
mempunyai lontaran hujah-hujah dari setiap ahli. Selain itu juga, apabila
berlaku situasi-situasi yang menyentuh sensitiviti masa, hal ini membuka minda
saya untuk menanam sifat menghormati setiap masa manusia yang ada dalam ruang
cakupan kita kerana setiap individu mempunyai perancangan masa secara peribadi.
Menutup kata-kata akhir warkah hamba Tuhan yang daif ini,
suka untuk saya memetik satu ayat daripada kalam suci, “Kamu (umat Islam)
adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh
(berbuat) yang makruf, dan mencegah yang mungkar, dan beriman kepada Allah...”
(surah Ali Imran, ayat 110). Ayat ini jelas menunjukkan dalam mendapatkan
gelaran ‘Umat Terbaik’ perlu melakukan tiga perkara: mengajak manusia melakukan
kebaikan, mencegah perkara yang buruk, dan beriman kepada Allah. Mengambil
iktibar daripada ayat ini, diharapkan setiap perkara yang dirancang, diatur,
disusun, dan dilakukan khususnya dalam menjayakan program Felix Exitus menjadi
saham dalam mendapatkan gelaran yang dijanjikan oleh Tuhan yang Maha Agung.
Moga terus komited dalam menjadikan diri ini sebagai: hamba Allah yang sentiasa
patuh akan titah dan larangnya, khalifah yang sentiasa berusaha untuk
memakmurkan tanah ini, dan da’ie yang tidak lekang pada bibirnya menyampaikan
risalah nabi walaupun satu ayat.