REFLEKSI PROGRAM FELIX EXITUS 2019
Bersyukur ke hadrat Ilahi dengan izin-Nya dapat saya dan rakan - rakan berjaya menamatkan salah satu kajian lapangan dan program bagi memenuhi tugasan subjek wajib Universiti iaitu Jalinan Masyarakat bagi Semester 1 sesi 2019/2020 dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dan Sains (Fizik). Bagi memenuhi tugasan ini, kami telah memilih SMK Seri Pantai, Kuala Lumpur dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam Selangor (Pepias) dan telah menjalankan Program Felix Exitus selama 3 hari 1 malam iaitu pada 7,8 dan 9 November 2019.
Program ini menitikberatkan pendedahan dan panduan kepada pelajar lepasan PT3 dalam pemilihan bidang dan halatuju di samping memupuk kemahiran insaniah daripada pelbagai aspek. Melalui program yang telah dijalankan ini, banyak input dan pengetahuan baru serta pengalaman yang berharga mengenai masyarakat yang saya perolehi. Dapatan hasil kajian juga, boleh saya aplikasikan dalam kehidupan sebagai seorang anggota masyarakat yang bertanggungjawab. Sebagai contoh, saya telah menyedari bahawa betapa pentingnya untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan agar generasi akan datang dapat mengharungi kehidupan dengan penuh yakin dan bermatlamat.
Seterusnya, pengalaman bersama-sama adik-adik tidak dapat saya lupakan, ini kerana dengan kehadiran mereka dapat saya dan rakan-rakan mempelajari dan merasai pengalaman mengendalikan adik-adik yang mempunyai karenah masing-masing dan impian tersendiri. Dengan mengadakan aktiviti bersama mereka seperti menjawab ujian personaliti (Self Directed- Search - SDS), bersukan, berkongsi pengalaman dan melakukan latihan dalam kumpulan, sememangnya menjadi satu pengalaman yang baru buat saya yang mana pengalaman ini membuka mata saya bahawa betapa pentingnya mendidik dan menjaga generasi yang muda kerana merekalah yang akan memimpin negara suatu hari nanti. Sedar atau tidak komitmen dan tanggungjawab sebagai ahli masyarakat sangat memainkan peranan penting dalam mengekalkan kehidupan yang harmoni dan aman yang sudah kita capai sehingga ke hari ini. Tambahan pula, sepanjang tiga hari tersebut saya dan rakan-rakan saya dapat melihat perubahan melalui penghayatan dan muhasabah adik-adik melalui aktiviti yang telah dijalankan seperti dapat membuat perancangan hidup dalam 5 tahun akan datang dan membantu mereka mendapat gambaran awal melalui pemilihan bidang dalam mengejar impian masing-masing.
Selain itu, saya merasakan bahawa program seperti ini banyak memberi kami pengalaman dan pengetahuan yang berguna dalam mengendalikan program. Kami dapat mempelajari keperluan asas setiap program, bagaimana mengenalpasti kelemahan masing-masing dan menyelesaikannya dengan baik. Malah kerjasama setiap ahli mendekatkan lagi ukhwah antara satu sama lain. Tidak lupa saya lahirkan rasa berterima kasih terhadap pihak SMK Seri Pantai, Kuala Lumpur dan Persatuan Pelajar Islam Selangor (Pepias). Pihak sekolah yang memberikan kerjasama yang sangat baik kepada kami untuk melaksanakan program ini begitu juga pihak Pepias yang telah membantu kami dengan pengetahuan asas menjadi seorang fasilitator melalui kem latihan asas kefasililatatoran.
Akhir sekali, dapat saya simpulkan bahawa dengan melakukan program ini bersama adik-adik di SMK Seri Pantai, Kuala Lumpur sememangnya banyak membantu saya untuk memahami keadaan sebenar masyarakat dan meningkatkan lagi rasa keprihatinan saya terhadap masyarakat. Selain itu, dengan melakukan program sebegini telah membuka mata saya bahawa hidup kita adalah untuk memberi dan bukannya hanya perlu mementingkan diri sendiri melakukan kerja-kerja seharian untuk mencapai kejayaan dan kekayaan, namun perlu untuk kita sedar bahawa kita juga perlu peka dan tahu tanggungjawab terhadap masyarakat di sekliling. Saya berharap agar program ini menjadi titik permulaan yang berharga dan dapat menjadi sumber inspirasi buat masa hadapan dalam membentuk masyarakat yang berintegriti dan berdaya saing.
No comments:
Post a Comment