REFLEKSI PROGRAM JALINAN MASYARAKAT
Bismillahirrahmanirrahim
Pada
tanggal 7 November yang lalu, sekumpulan pelajar dari program Sains Gunaan dan
Pengajian Islam/Teknologi Maklumat Universiti Malaya telah menjayakan sebuah program
Felix Exitus di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai. Sebelum berlangsungnya
tarikh tersebut, kami telah pun membuat persediaan yang secukupnya untuk
memastikan program tersebut berjalan dengan lancar. Selain itu, dengan kerjasama
bersama PEPIAS program latihan fasilitator juga telah diberikan kepada para
fasilitator yang akan mengendalikan pelajar tingkatan 3 yang terlibat dalam
program tersebut.
Pada hari
pertama program ini dijalankan, semua pelajar dikumpulkan di Dataran Gemilang
oleh penyelaras tingkatan 3 yang lebih dikenali sebagai ustaz Munir. Saya dapat
lihat kesungguhan beliau membantu kami untuk menarik para pelajar tingkatan 3
menyertai program ini. Hal ini kerana tarikh berlangsungnya program ini adalah
pada akhir tahun di mana sudah ramai pelajar tidak hadir ke sekolah ditambah
lagi dengan berlangsungnya peperiksaan SPM di sekolah itu. Namun atas usaha
beliau, bilangan pelajar yang berjaya dikumpulkan mencapai sasaran iaitu
seramai 80 orang. Pada hari tersebut juga saya dapat lihat kawan-kawan saya
sangat segak dan cantik dengan mengenakan pakaian seragam berwarna hitam dan
oren.
Seperti
kebiasaan, program ini dimulai dengan aktiviti pendaftaran yang diketuai oleh
setiausaha kami. Disebabkan kesuntukan masa, kami hanya mengedarkan kertas
pendaftaran tersebut sambil PIC kami mengendalikan program. Setelah para
pelajar diberikan rehat pada jam 9.40 amat menyedihkan kerana pelajar yang
kembali ke program semula semakin sedikit. Hal ini menyebabkan bilangan peserta
dalam kumpulan tidak stabil. Namun LDK1 tetap diteruskan oleh fasilitator yang
telah diberikan amanah dalam setiap kumpulan. Di dalam LDK ini, para pelajar
bertaaruf sesama mereka dan 4 konsep telah diajarkan iaitu taaruf, taawun,
tafahum dan takaful. Seusai LDK 1, pelajar dikumpulkan di dewan utama untuk
membuat kesimpulan dan rehat untuk makan tengahari serta solat zohor.
Program
diteruskan dengan LDK 2. Pelajar diarahkan untuk membuat logo dan cheers untuk
kumpulan mereka. Di dalam aktiviti ini saya dapat lihat pelajar yang pada
mulanya diam dan malu-malu kini makin berani menampilkan diri dan mesra bersama
fasilitator. Tema yang diberikan ialah Avengers. Mereka perlu menyiapkan
tugasan ini dalam hanya 30 minit sebelum dibentangkan di hadapan kumpulan yang
lain. LDK 2 merupakan aktiviti terakhir pada hari pertama program dan ia telah
tamat pada jam 3 petang. Setelah pelajar pulang ke rumah, kami memulakan
posmotem untuk hari tersebut idi bilik gerakan yang disediakan oleh pihak
sekolah.
Tiba hari
kedua program, saya sudah tidak sabar untuk menari lagu tema. Sebenarnya
tertanya juga kenapa harus diperkenalkan lagu ini pada hari kedua, dan bukan
pada hari pertama? kerana bagi saya lagu tema ini pasti akan dapat menarik
pelajar untuk menyertai program ini. Hari kedua dimulai dengan kekecewaan
apabila ramai ahli yang datang lewat kerana hujan dan dewan juga digunakan oleh
pihak sekolah. Oleh itu program mula agak lewat daripada yang telah dirancang.
Selain itu, bilangan pelajar yang hadir juga semakin berkurangan. Namun
semangat saya kembali semula apabila meihat pelajar-pelajar sangat gembira dan
teruja setelah kami menunjukkan mereka lagu tema yang bakal kami ajarkan kepada
mereka. Ada yang melompat-lompat dan ada juga yang bertepuk tangan kegembiraan.
Setelah
selesai proses mengajar lagu tema, para pelajar diberikan rehat dan aktiviti
diteruskan dengan LDK 3. Melalui LDK 3, para pelajar dapat mengenal pasti
kebolehan dan kecenderungan mereka dalam sesuatu bidang dengan menjawab satu
borang khas. Bukan itu sahaja, mereka perlu membuat baju yang sangat bergaya
dengan hanya menggunakan surat khabar. Sepanjang LDK 3 saya sibuk menyediakan
bahan untuk aktiviti HELWANI di bilik gerakan. Mujurlah ada sahabat yang boleh
sama-sama mengendalikan aktiviti tersebut untuk meringankan beban saya. Saya
sangat gembira kerana dapat berkongsi ilmu tentang fiqh wanita kepada
sebilangan pelajar perempuan di sana. Hal ini kerana sewaktu saya berumur
seusia mereka, saya tidak dapat pendedahan ilmu tersebut seperti mereka sedangkan
ilmu itu sangat penting.
Program
diteruskan dengan LDK 4 setelah mereka selesai menunaikan solat zohor dan solat
jumaat. Kali ini aktiviti yang diberikan agak menarik kerana ia memerlukan
kekuatan akal dan kerjasama yang tinggi antara pasukan. Di dalam LDK ini juga
diselitkan tentang jati diri dan sahsiah yang perlu ada dalam diri setiap orang
apabila melangkah ke dunia luar nanti. Tak sangka pula aktiviti ini
meninggalkan kesan yang tinggi sehingga ada yang menangis dan meluahkan
perasaan tentang masalah mereka kepada fasilitatornya. Selesai solat asar, para
pelajar mula berlatih untuk persembahan malam kebudayaan bersama fasilitator
mereka. Walaupun diperuntukkan masa yang sangat singkat, para pelajar dapat
membuat persediaan dengan sangat baik.
Hal ini
dapat dibuktikan pada malam tersebut apabila persembahan yang ditonjolkan
sangat menghiburkan dan mencuit hati. Sebenarnya saya tidak dapat menonton
persembahan tersebut dek kerana saya dan sebilangan ahli yang lain berlatih
untuk persembahan kami di bilik gerakan. Namun dekahan suara daripada penonton
dapat didengari dari jauh. Tiba giliran kami membuat persembahan, saya berasa
sangat teruja dan bersyukur kerana persembahan kami berjalan dengan lancar.
Pelbagai jenis uniform telah dikenakan oleh sebilangan ahli kumpulan kami untuk
memeriahkan lagi persembahan tersebut. Malam tersebut diakhiri dengan tarian
lagu tema yang penuh semangat oleh para pelajar.
Pada malam
tersebut, kami diberikan tugasan untuk berjaga bergili-gilir sepanjang malam.
Sangat mencuit hati apabila ada seorang pelajar yang suruh kami tidur sahaja
kerana dia ingin berjaga sepanjang malam untuk menjaga kami dan kawan-kawannya.
Tidak boleh tidur, rindukan mak katanya. Namun akhirnya dia tertidur juga
kearana kepenatan. Saya ditugaskan untuk berjaga pada jam 4 pagi tetapi tepat
jam 4 pagi semua pelajar sudah bangun sendiri dan bergegas menyiapkan diri
untuk berqiamullail. Selesai solat dan kuliah subuh, para pelajar berzumba
dengan diketuai oleh ketua fasilitator. Terpegun juga saya melihat ketua
fasilitator itu mengetuai tarian Zumba. Entah bila dia pula dia berlatih 4
tarian sekaligus. Selesai sarapan, program diteruskan dengan aktiviti kemuncak
iaitu explorace.
Terdapat 5
checkpoint yang perlu dilalui oleh semua kumpulan. Saya dapat lihat para
pelajar sangat gembira dan bersemangat dengan explorace ini. Semangat
persaingan antara kumpulan juga dapat dilihat apabila mereka berlumba-lumba
untuk menang. Selesai explorace, program diteruskan dengan aktiviti terakhir
iaitu LDK 5 di mana para pelajar menjelaskan lagi hala tuju yang akan mereka
pilih dengan bimbingan fasilitator.
Sudah
menjadi perkara wajib untuk setiap program mengadakan majlis penutup, begitu
juga program Felix Exitus. Setelah ucapan daripada pengarah program dan wakil
guru, majlis penyampaian hadiah, tayangan video dan sesi fotografi diteruskan
sebelum bersurai. Walaupun penat, saya berasa sangat gembira kerana
dipertemukan dengan mereka walaupun hanya selama 3 hari 2 malam. Sehingga kini
ada fasilitator yang masih berhubung dengan anak buah mereka. Ada juga yang
mengajak kami semua berjogging tapi disebabkan kesuntukan masa, ia tidak dapat
diteruskan. Secara ringkas, saya sangat berpuas hati atas kerjasama yang
diberikan oleh semua pihak dan berharap agar ukhuwah yang telah terbina akan
kekal.