REFLEKSI PROGRAM FELIX EXITUS 2019
Bismillahirahmanirahim,
syukur ke hadrad ilahi kerana dengan limpah rahmat dan kurnianya dapat kami, pelajar-pelajar
daripada program Sains Gunaan dengan Pengajian Islam pengkhususan Fizik dan
Teknologi Maklumat menjayakan sebuah program jalinan masyarakat di sebuah
sekolah SMK Seri Pantai yang terletak di bandar Kuala Lumpur. Program ini juga
lebih dikenali lagi sebagai program ‘Felix Exitus’. Program yang
berlansung pada 7 hingga 9 November 2019 itu bertujuan untuk membantu
murid-murid lepasan PT3 untuk menentukan halatuju mereka berdasarkan minat dan
kemahiran mereka. Program ini juga bertujuan untuk memupuk kesedaran dalam diri
mereka mengenai kepentingan menjaga sahsiah diri selain memupuk kepentingan
kemahiran insaniah dalam kehidupan sebagai seorang pelajar sekolah.
Seperti
yang kita tahu, sekolah ini merupakan sekolah harian biasa yang terletak di tengah
bandar Kuala Lumpur dan apa yang kita sering dengar dari mulut-mulut orang
seringkali mengatakan bahawa pelajar-pelajar daripada sekolah begini kerap
melibatkan diri dalam gejala-gejala yang tidak bermoral dan tidak berfaedah.
Hal ini menyebabkan kami pada awalnya berasa agak risau dan bimbang untuk
menjayakan program ini. Namun setelah memikirkan balik tujuan asal program ini
diadakan membuatkan kami bertanggungjawab dan kami bertekad untuk mengadakan
program bersama mereka agar kami dapat menjadi salah satu agen perubahan dalam
menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu para pelajar sekolah menengah di
Malaysia.
Pada
awal program, saya dapati bahawa sebilangan murid seperti tidak ingin menyertai
program ini dengan memberikan pelbagai alasan kepada guru mereka. Mungkin
kerana sudah lali dengan program motivasi yang diadakan di sekolah mereka.
Namun, masih ada ramai yang kekal untuk meneruskan program ini. Dengan harapan
ingin membantu mereka memilih hala tuju selain memperbaiki sahsiah diri mereka,
kami meneruskan juga program ini di sekolah mereka. Sepanjang program
berlangsung, apa yang dapat saya simpulkan ialah mereka sedikit sebanyak dapat
menerima serta menikmati program kami. Alhamdulillah, mereka menunjukkan minat
dan semangat dalam semua aktiviti yang diadakan. Ditambah lagi dengan komitmen
baik yang dicurahkan oleh rakan-rakan saya yang lain dalam menjayakan setiap
aktiviti sememangnya menjadikan program ini sangat ‘berisi’ dan bermakna
serta sukar untuk dilupakan. Pada akhir program, para pelajar tampak lebih
bersemangat dan yakin untuk memilih hala tuju mereka pada masa akan datang.
Rata-rata mereka memberikan maklum balas yang positif terhadap program ini.
Hubungan ukhuwah antara kami dengan murid-murid SMK Seri Pantai secara tak
langsung terjalin dengan amat baik sekali.
Akhir
sekali, saya berharap agar murid-murid sekolah ini dapat mempraktikkan apa yang
telah kami ajari kepada mereka secara berterusan dan tidak menjadikan program
ini seperti mencurah air ke daun keladi. Saya juga berharap agar usaha kecil
kami ini dapat membantu mengurangkan kadar masalah sosial dalam kalangan
pelajar sekolah menengah yang kian membarah. Saya juga berharap agar
program-program kemasyarakatan seperti ini dapat diteruskan lagi oleh
pelajar-pelajar universiti pada masa akan datang kerana masyarakat ialah ibu
bapa kepada mahasiswa universiti. Jadi pulang dan berbaktilah kepada mereka.
No comments:
Post a Comment