Tuesday, November 26, 2019

NURSYAZANI BINTI YOSRI (IIV180064)





REFLEKSI PROGRAM JALINAN MASYARAKAT

Bismillahirrahmanirrahim
      Pada tanggal 7 November yang lalu, sekumpulan pelajar dari program Sains Gunaan dan Pengajian Islam/Teknologi Maklumat Universiti Malaya telah menjayakan sebuah program Felix Exitus di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai. Sebelum berlangsungnya tarikh tersebut, kami telah pun membuat persediaan yang secukupnya untuk memastikan program tersebut berjalan dengan lancar. Selain itu, dengan kerjasama bersama PEPIAS program latihan fasilitator juga telah diberikan kepada para fasilitator yang akan mengendalikan pelajar tingkatan 3 yang terlibat dalam program tersebut.
      Pada hari pertama program ini dijalankan, semua pelajar dikumpulkan di Dataran Gemilang oleh penyelaras tingkatan 3 yang lebih dikenali sebagai ustaz Munir. Saya dapat lihat kesungguhan beliau membantu kami untuk menarik para pelajar tingkatan 3 menyertai program ini. Hal ini kerana tarikh berlangsungnya program ini adalah pada akhir tahun di mana sudah ramai pelajar tidak hadir ke sekolah ditambah lagi dengan berlangsungnya peperiksaan SPM di sekolah itu. Namun atas usaha beliau, bilangan pelajar yang berjaya dikumpulkan mencapai sasaran iaitu seramai 80 orang. Pada hari tersebut juga saya dapat lihat kawan-kawan saya sangat segak dan cantik dengan mengenakan pakaian seragam berwarna hitam dan oren.
      Seperti kebiasaan, program ini dimulai dengan aktiviti pendaftaran yang diketuai oleh setiausaha kami. Disebabkan kesuntukan masa, kami hanya mengedarkan kertas pendaftaran tersebut sambil PIC kami mengendalikan program. Setelah para pelajar diberikan rehat pada jam 9.40 amat menyedihkan kerana pelajar yang kembali ke program semula semakin sedikit. Hal ini menyebabkan bilangan peserta dalam kumpulan tidak stabil. Namun LDK1 tetap diteruskan oleh fasilitator yang telah diberikan amanah dalam setiap kumpulan. Di dalam LDK ini, para pelajar bertaaruf sesama mereka dan 4 konsep telah diajarkan iaitu taaruf, taawun, tafahum dan takaful. Seusai LDK 1, pelajar dikumpulkan di dewan utama untuk membuat kesimpulan dan rehat untuk makan tengahari serta solat zohor.
      Program diteruskan dengan LDK 2. Pelajar diarahkan untuk membuat logo dan cheers untuk kumpulan mereka. Di dalam aktiviti ini saya dapat lihat pelajar yang pada mulanya diam dan malu-malu kini makin berani menampilkan diri dan mesra bersama fasilitator. Tema yang diberikan ialah Avengers. Mereka perlu menyiapkan tugasan ini dalam hanya 30 minit sebelum dibentangkan di hadapan kumpulan yang lain. LDK 2 merupakan aktiviti terakhir pada hari pertama program dan ia telah tamat pada jam 3 petang. Setelah pelajar pulang ke rumah, kami memulakan posmotem untuk hari tersebut idi bilik gerakan yang disediakan oleh pihak sekolah.
      Tiba hari kedua program, saya sudah tidak sabar untuk menari lagu tema. Sebenarnya tertanya juga kenapa harus diperkenalkan lagu ini pada hari kedua, dan bukan pada hari pertama? kerana bagi saya lagu tema ini pasti akan dapat menarik pelajar untuk menyertai program ini. Hari kedua dimulai dengan kekecewaan apabila ramai ahli yang datang lewat kerana hujan dan dewan juga digunakan oleh pihak sekolah. Oleh itu program mula agak lewat daripada yang telah dirancang. Selain itu, bilangan pelajar yang hadir juga semakin berkurangan. Namun semangat saya kembali semula apabila meihat pelajar-pelajar sangat gembira dan teruja setelah kami menunjukkan mereka lagu tema yang bakal kami ajarkan kepada mereka. Ada yang melompat-lompat dan ada juga yang bertepuk tangan kegembiraan.
      Setelah selesai proses mengajar lagu tema, para pelajar diberikan rehat dan aktiviti diteruskan dengan LDK 3. Melalui LDK 3, para pelajar dapat mengenal pasti kebolehan dan kecenderungan mereka dalam sesuatu bidang dengan menjawab satu borang khas. Bukan itu sahaja, mereka perlu membuat baju yang sangat bergaya dengan hanya menggunakan surat khabar. Sepanjang LDK 3 saya sibuk menyediakan bahan untuk aktiviti HELWANI di bilik gerakan. Mujurlah ada sahabat yang boleh sama-sama mengendalikan aktiviti tersebut untuk meringankan beban saya. Saya sangat gembira kerana dapat berkongsi ilmu tentang fiqh wanita kepada sebilangan pelajar perempuan di sana. Hal ini kerana sewaktu saya berumur seusia mereka, saya tidak dapat pendedahan ilmu tersebut seperti mereka sedangkan ilmu itu sangat penting.
      Program diteruskan dengan LDK 4 setelah mereka selesai menunaikan solat zohor dan solat jumaat. Kali ini aktiviti yang diberikan agak menarik kerana ia memerlukan kekuatan akal dan kerjasama yang tinggi antara pasukan. Di dalam LDK ini juga diselitkan tentang jati diri dan sahsiah yang perlu ada dalam diri setiap orang apabila melangkah ke dunia luar nanti. Tak sangka pula aktiviti ini meninggalkan kesan yang tinggi sehingga ada yang menangis dan meluahkan perasaan tentang masalah mereka kepada fasilitatornya. Selesai solat asar, para pelajar mula berlatih untuk persembahan malam kebudayaan bersama fasilitator mereka. Walaupun diperuntukkan masa yang sangat singkat, para pelajar dapat membuat persediaan dengan sangat baik.
      Hal ini dapat dibuktikan pada malam tersebut apabila persembahan yang ditonjolkan sangat menghiburkan dan mencuit hati. Sebenarnya saya tidak dapat menonton persembahan tersebut dek kerana saya dan sebilangan ahli yang lain berlatih untuk persembahan kami di bilik gerakan. Namun dekahan suara daripada penonton dapat didengari dari jauh. Tiba giliran kami membuat persembahan, saya berasa sangat teruja dan bersyukur kerana persembahan kami berjalan dengan lancar. Pelbagai jenis uniform telah dikenakan oleh sebilangan ahli kumpulan kami untuk memeriahkan lagi persembahan tersebut. Malam tersebut diakhiri dengan tarian lagu tema yang penuh semangat oleh para pelajar.
      Pada malam tersebut, kami diberikan tugasan untuk berjaga bergili-gilir sepanjang malam. Sangat mencuit hati apabila ada seorang pelajar yang suruh kami tidur sahaja kerana dia ingin berjaga sepanjang malam untuk menjaga kami dan kawan-kawannya. Tidak boleh tidur, rindukan mak katanya. Namun akhirnya dia tertidur juga kearana kepenatan. Saya ditugaskan untuk berjaga pada jam 4 pagi tetapi tepat jam 4 pagi semua pelajar sudah bangun sendiri dan bergegas menyiapkan diri untuk berqiamullail. Selesai solat dan kuliah subuh, para pelajar berzumba dengan diketuai oleh ketua fasilitator. Terpegun juga saya melihat ketua fasilitator itu mengetuai tarian Zumba. Entah bila dia pula dia berlatih 4 tarian sekaligus. Selesai sarapan, program diteruskan dengan aktiviti kemuncak iaitu explorace.
      Terdapat 5 checkpoint yang perlu dilalui oleh semua kumpulan. Saya dapat lihat para pelajar sangat gembira dan bersemangat dengan explorace ini. Semangat persaingan antara kumpulan juga dapat dilihat apabila mereka berlumba-lumba untuk menang. Selesai explorace, program diteruskan dengan aktiviti terakhir iaitu LDK 5 di mana para pelajar menjelaskan lagi hala tuju yang akan mereka pilih dengan bimbingan fasilitator.
      Sudah menjadi perkara wajib untuk setiap program mengadakan majlis penutup, begitu juga program Felix Exitus. Setelah ucapan daripada pengarah program dan wakil guru, majlis penyampaian hadiah, tayangan video dan sesi fotografi diteruskan sebelum bersurai. Walaupun penat, saya berasa sangat gembira kerana dipertemukan dengan mereka walaupun hanya selama 3 hari 2 malam. Sehingga kini ada fasilitator yang masih berhubung dengan anak buah mereka. Ada juga yang mengajak kami semua berjogging tapi disebabkan kesuntukan masa, ia tidak dapat diteruskan. Secara ringkas, saya sangat berpuas hati atas kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dan berharap agar ukhuwah yang telah terbina akan kekal.

No comments:

Post a Comment

MUHAMMAD HAAKEM BIN AZMAN (IIV180036)

Refleksi Program Felix Exitus                       Saya mulakan warkah ini dengan nama Tuhan yang Esa, Maha Pemurah, lagi Maha P...